Melanggan Melalui Email PERCUMA

Jika anda tidak mahu ketinggalan post di blog ini, anda boleh melanggan terus ke mailbox email anda; dan saya berjanji tidak akan berkongsi, menukar, menjual atau mendedahkan alamat email anda dalam apa jua cara sekalipun.

Enter your email address:

Delivered

Showing posts with label Solat. Show all posts
Showing posts with label Solat. Show all posts

Kisah Benar – Kubur Hajjah Siah Bercahaya

Saturday, August 3, 2013 · 0 Puteri amani



Kisah Benar – Kubur Hajjah Siah Bercahaya | Kisah ini adalah mengenai sebuah kubur yang dikatakan bercahaya di sebuah kampung Sungai Manik, Teluk Intan, Perak. Kubur yang dimaksudkan adalah kubur Hajjah Siah. Terdapat saksi yan menyaksikan tentang kejadian ini. Cerita ini juga telah menunjukkan salah satu bentuk kekuasaan Allah SWT. Sesungguhnya amalan tetap dihitung walaupun ia hanya sebesar zarah. Ikuti kisah di bawah ini.
Selepas berbuka puasa pada malam 1 Ramadan 2002, Tajuddin Ali, 31, berbual-bual dengan seorang rakannya bernama Ahlid di halaman rumahnya sambil menghembus asap rokok berkepul-kepul.Entah apa yang dibualkan mereka tapi mereka berdua rancak bercerita sementara menunggu masuknya waktu solat fardu Isyak.
Sedikit demi sedikit malam mula berlabuh, suasana jadi kelam. “Fuuuhh!” Tajuddin menghembus asap rokok melepas ketagihan sejak siang tadi. Matanya memandang kearah tanah perkuburan yang terletak di depan rumahnya di Parit 1C, Sungai Manik, Teluk Intan, Perak yang mula diselubungi malam.
Keadaan tanah perkuburan itu kelam, tiada apa yang kelihatan melainkan beberapa batang pokok kayu yang tinggi menjulang dan rendang nampak berbalam. Namun, dalam kegelapan malam tu tiba-tiba Tajuddin terlihat muncul satu cahaya aneh berwarna biru dari kawasan perkuburan.
Cahaya aneh berbentuk bulat seperti disuluh lampu limpah itu menjadi semakin besar dan menaik sehingga menjulang melebihi tiga meter. Cahaya itu tidak jauh dari mereka, lebih kurang 100 meter sahaja dari halaman rumahnya. Kawannya, Ahlid turut menyaksikan perkara yang sama, ternampak cahaya itu muncul dari batu nisan disalah sebuah kubur di situ.
Terkedu Tajuddin menyaksikan peristiwa itu sehingga sebahagian kawasan tanah perkuburan menjadi terang benderang seperti disuluh dengan lampu limpah. Hampir lima minit mereka berdua menyaksikan cahaya aneh itu bermula dari warna biru, berubah menjadi kekuningan, kemerahan kemudian beransur-ansur sirna.
Cahaya apakah itu?
Menggigil dan berpeluh Ahlid sehingga tidak dapat berkata apa-apa. Sebaik sahaja cahaya itu hilang mereka berdua berlari ke dalam rumah. “Kau nampak tak apa yang aku nampak tadi Lid?” soal Tajuddin.
“Ya, aku nampak Din,” beritahu Ahlid terketar-ketar.
“Ishhhk…! Pelik betullah cahaya apa tadi tu?” soal Tajuddin lagi.
“Entahlah Din, jangan-jangan hantu tak?” balas Ahlid.
“Ishhhk…! Merepeklah, bulan puasa mana ada hantu!” balas Tajuddin.
Akibat terlalu takut, malam itu Ahlid tidak berani hendak balik tidur ke rumahnya sebaliknya bermalam di rumah Tajuddin. Keesokan harinya hebohlah seluruh pekan Teluk Intan memperkatakan tentang kejadian kubur bercahaya di Sungai Manik.
Malam berikutnya, berduyun-duyunlah penduduk kampung berkumpul berhampiran tanah perkuburan Islam Parit 1C selepas berbuka puasa. Mereka tergiur ingin melihat cahaya apakah yang telah disaksikan Tajuddin dan Ahlid, semalam.
Masing-masing bersidai didepan tanah perkuburan Islam itu dengan harapan dapat melihat cahaya muncul dari kubur tersebut. Masing-masing tertunggu-tumggu bilakah cahaya itu bakal muncul!
Ada juga yang merasa ragu-ragu, kalau-kalau Tajuddin sengaja mahu memperdayakan orang-orang kampung dengan mereka-reka cerita berkenaan. Kira-kira pukul 8.00 malam,tiba-tiba muncullah cahaya aneh yang ditunggu-tunggu. Maka bertambah gemparlah seluruh penduduk Sungai Manik apabila menyaksikan peristiwa aneh itu.
Benarlah dakwaan Tajuddin dan Ahlid apabila sebahagian besar penduduk dapat menyaksikan sendiri cahaya yang terpancar, muncul dari celah-celah batu nisan seorang wanita tua bernama Hajah Siah Haji Tamin.
Malam tersebut, cahaya aneh muncul lebih kurang dua hingga lima minit dan menerangi hampir sebahagian tanah perkuburan Islam Parit 1C, Sungai Manik. Peristiwa pelik ini sangat menakjubkan dan tersebar dengan begitu cepat bukan sahaja ke seluruh pelosok negeri Perak tetapi seluruh Negara.
Sejak itulah juga kubur Hajah Siah menjadi tumpuan ramai. Pengunjung tidak kira dari Melaka, Pulau Pinang mahupun Johor turut datang semata-mata mahu menyaksikan cahaya yang didakwa terbit dari batu nisan di bahagian kepala milik arwah Hajah Siah.
Tapi… dalam keajaiban kejadian Allah ini terdapat pula yang cuba berniat jahat. Geram betul Tajuddin apabila ada pihak tertentu yang datang bertujuan cuba mendapatkan nombor ekor.
Orang luar yang tidak dikenali siap membawa pen dan kertas. Malah ada desas-desus menyatakan ada pihak ingin mencuri batu nisan tersebut! Tajuddin mengakui kejadian yang berlaku hampir lapan tahun lalu amat menakjubkan sepanjang hidupnya.
Peliknya, cahaya tersebut biasanya muncul antara pukul 8.00 malam hingga 10.00 malam dan jangka masa muncul antara dua hingga lima minit sahaja. Pada mulanya ramai yang pelik mengapa cahaya ini muncul pada waktu berkenaan. Tetapi selepas mendengar cerita sebenar barulah ramai yang merasa takjub dengan allahyarham Hajah Siah.
Sebenarnya pada waktu berkenaanlah, arwah Hajah Siah suka membaca al-Quran semasa hayatnya. Ceritanya lagi, Allahyarham Hajah siah yang berasal dari Parit 4A, Sunga Manik merupakan seorang yang warak dan alim ketika hidupnya. Arwah seorang yang memiliki budi pekerti yang baik dan gemar ‘bersahabat’ dengan al-Quran.
Untuk mendapatkan kepastian, Tajuddin membawa kami menemui dua anak arwah, Haji Muhammad Haji Othman, 69, dan anak bongsunya, Jamaliah Haji Othman, 67.
Sambil dihidangkan secawan kopi, kami bertanya apakah ibadah yang selalu diamalkan oleh arwah ketika hayatnya sehingga kuburnya mengeluarkan cahaya untuk dijadikan iktibar kepada pembaca?
Jamaliah tersenyum sambil memberitahu bahawa arwah ibunya meninggal dunia sebelum azan maghrib 8 Disember 2002 di Hospital Teluk Intan ketika berusia 80 tahun, beliau tidak mengamalkan apa-apa ibadah yang istimewa. Jamaliah juga tidak mahu terlalu memuji ibunya bimbang dianggap riak pula.
Pada Jamaliah, apa yang diamalkan arwah ibunya biasa saja seperti amalan umat Islam lain iaitu melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.
Misalnya, semasa hayatnya, arwah Hajah Siah sentiasa menjaga solat lima waktu sehari semalam sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada setiap hamba-Nya. Arwah ibunya juga sering kali bersolat sebaik masuk waktu tanpa melengah-lengahkan dengan hal-hal keduniaan.
“Misalnya, sebelum masuk waktu solat Maghrib lagi mak dah ambil air sembahyang, kemudian duduk menunggu di atas sejadah sambil membaca al-Quran. “Bila azan Isyak selesai, mak terus solat. Lepas solat sambung lagi mengaji al-Quran. Masa mak banyak dihabiskan dengan membaca al-Quran!
“Tengah malam mak selalu bangun buat solat Tahajud dan waktu pagi solat sunat Dhuha. Tiap-tiap hari itulah amalan mak!” cerita Jamaliah. Kami juga dimaklumkan Jamaliah, dalam setahun ibunya berkhatam al-Quran, lima hingga enam kali. Pada bulan puasa sahaja arwah ibunya khatam al-Quran sebanyak dua kali.
“Mak selalu amalkan baca surah Yasin, al-Waqiah dan surah al-Mulk. Tiga surah ini pasti mak baca pada tiap-tiap hari. Kira amalan wajib bagi mak!” tambah Jamaliah.
Amalan lain yang turut menjadi darah daging arwah Hajah Siah ialah berzikir. “Mak berzikir tak kira waktu pagi, petang atau siang. Malam pula saya tengok mak berzikir. Tasbih memang tak lekang dibilang dan dibawanya ke mana-mana.”
“Tengah berkebun pun mak bawa tasbih juga, kalau dia nak mencangkul dan menebas dia sangkutkan tasbih pada lehernya!” beritahu Haji Muhammad pula.
Zikir yang selalu diamalkan arwah ialah zikir harian yang selalu diamalkan Imam al-Ghazali. “Setiap kali berzikir arwah mak buat seribu kali setiap hari!” beritahu Jamaliah.
Selain berzikir apa lagi amalan yang paling disukai arwah Hajah Siah?
“Ishhhk! Amalan ini memang berat, susah orang nak buat. Tapi arwah mak suka sangat buat. Mak suka sangat bersedekah kepada anak-anak yatim dan kepada masjid. “Mak sedekah bukan sikit tapi banyak. Arwah mak pernah sedekah sampai RM1000 untuk bina masjid. Kalau bab sedekah arwah mak memang tak sayang duit, hairan saya.
“Arwah mak ada pesan pada kami, kalau orang datang minta sedekah jangan dihampakan. Beri biarpun sikit!” ujar Haji Muhammad pula.
Semasa hayatnya, arwah Hajah Siah selalu berpesan kepada Haji Muhammad dan Jamaliah supaya rajin-rajinlah membaca al-Quran. Itulah saja penolong ketika berada di alam kubur.
“Kata mak, kalau kita rajin baca al-Quran, nanti bila dah meninggal, dalam kubur akan bercahaya terang-benderang seperti disuluh lampu. Sebab itulah saya tak terkejut sangat bila orang heboh bercerita kubur mak saya bercahaya!” jelas Jamaliah pula.
Begitulah cerita daripada anak-anak arwah Hajah Siah yang kami temui di rumah mereka di Parit 4A, Sungai Manik, Teluk Intan.
sumber


Kenapa Orang Islam Sembah Bangunan Kain Hitam Tu?

Thursday, July 18, 2013 · 1 Puteri amani

“Kenapa orang Islam sembah bangunan kain hitam tu?”
“Oh…. itu Kaabah atau nama lainnya Baitullah”
“Baitullah tu apa?” …
“Secara terjemahan mudah maknanya Rumah Allah”
“Allah ada dalam tu?”
“Tak…..”
“Jadi, kenapa sembah bangunan tu kalau Allah tak ada dalam tu?”
“Yang saya sembah bukannya bangunan tu..”
“Kamu sembah apa?”
“Saya sembah Allah swt”
“Jadi, kenapa sembah bangunan tu?”
“Saya MENGHADAP sahaja ke arah Kaabah tetapi saya tak sembah Kaabah..”
“Bukankah kamu sujud ke arah Kaabah, maknanya kamu sembah Kaabah la..”
“Kamu pernah tgk perlawanan bola dalam TV?”
“Pernah…… selalu..”
“Kamu tengok tv ke tengok perlawanan bola?”
“Tengok perlawanan bola la..”
“Di mana?”
“Dalam tv la..”
“Cuba buka tv tu, tengok di dalamnya ada stadium dan perlawanan bola ke tak..”
“Memanglah tak ada.. tapi itukan gambarnya ada..”
“Bukalah dalam tv, tengok ada ke tak gambar perlawanan bola dalam tu..”
“So..?”
“Maknanya kamu tengok tv, bukan perlawanan bola.. betul tak?”
“Tak.. aku tengok perlawanan bola la melaui tv tu..”
“Peliknya..”
“Sebab apa pulak pelik?”
“Ye la, kau cakap tengok perlawanan bola, sedangkan aku tengok dalam tv tu tak ada apa-apa.. yg ada hanya wayar je berselirat..”
“Memanglah dalam tv tu ada banyak wayar, tapi tv tu menayangkan gambar-gambar perlawanan bola dalamnya..”
“Hurm.. jadi tak peliklah ni..?”
“Ya.. tak pelik..”
“Jadi tak pelik jugalah aku sujud ke arah Kaabah untuk menyembah Allah swt. walau pun dalam Kaabah tak ada Allah..”
Anda boleh copy dan share untuk perkongsian
Insyaallah
P/S: (” Kaabah merupakan kiblat bagi manusia di bumi ini. Ia juga melambangkan kesatuan manusia dan perpaduan ummah. Hakikat sebenarnya, orang Islam tidak menyembah kaabah, sedangkan kaabah sendiri adalah makhluk Allah S.W.T Orang Islam adalah menyembah Allah S.W.T yang Maha Esa. Orang Islam diperintahkan untuk menghadapkan dirinya kepada kaabah bagi menunjukkan perpaduan dan kekuatan.
Jom kita bayangkan orang yang solat di atas kapal terbang, adakah dia perlu berbongkok untuk mengadap kaabah yang berada di bawah? Tidak, bahkan dia wajib untuk berdiri tegak dan perlu mengadap kaabah pada permulaan solat sahaja. Jika kapal terbang itu berpusing ke arah bertentangan Kaabah, orang yang bersolat itu tidak perlu lagi berpusing ke arah kaabah. Solatnya sudah sah walaupun tidak mengadap kaabah. Wallahu’Alam.”



Solat 5 Waktu Sehari,Tapi Satu Apa Pun Tak Faham?

Tuesday, June 25, 2013 · 0 Puteri amani


Bahasa memainkan peranan penting di dalam kehidupan setiap manusia di seluruh dunia di mana ia menjadi kunci utama komunikasi yang memberikan kefahaman yang lebih tepat dan mudah bagi sesuatu perkara atau perlakuan.
Tidak dinafikan bahawa Bahasa Inggeris merupakan bahasa terpenting di dunia memandangkan ia adalah bahasa ilmu dan dipertuturkan oleh masyarakat dunia di seluruh rantau benua.
Bahasa Melayu juga penting di kalangan masyarakat Malaysia memandangkan ia adalah bahasa rasmi negara yang digunakan setiap hari dan difahami oleh seluruh rakyat.
Namun sebagai umat Islam, penulis berpandangan bahawa Bahasa Arab merupakan satu bahasa yang perlu dipelajari, difahami dan dikuasai walaupun hanya diperingkat asas.
Sebagaimana maklum, setiap umat Islam yang mukallaf diwajibkan menunaikan solat lima waktu setiap hari tanpa kompromi dan setiap kali bersolat, kita seolah-olah sedang berkata-kata serta memuji kebesaran Allah SWT.
Jika tidak silap penulis, setiap pergerakan di dalam solat akan melibatkan penggunaan Bahasa Arab di mana setiap lafaz, surah dan sebagainya menggunakan bahasa syurga tersebut.
Tidak pernah pula kita dengar mana-mana umat Islam yang menggunakan Bahasa Inggeris, Bahasa Perancis, Bahasa Latin, Bahasa Korea, Bahasa Jepun, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil atau Bahasa Melayu ketika bersolat.
Persoalannya, apakah kita faham sepenuhnya kata-kata yang terbit dari mulut ketika menunaikan solat?
Fahamkah kita apa yang kita tuturkan melalui doa iftitah, Al-Fatihah, ayat-ayat Al-Quran atau surah, takbir, tahmid, doa qunut dan sebagainya ketika melakukan solat?
Dan tidak pernahkah terdetik dihati kita untuk mengetahui dan memahami segala kalam yang dipertutur di hadapan Allah SWT itu?
Sesungguhnya penulis berpendapat bahawa sekiranya kita tahu, memahami dan mengerti tentang komunikasi dengan Allah SWT itu, sudah tentu ia akan menambah rasa zuhud, khusyuk serta rasa tawadhuk kita terhadap Yang Maha Esa.
Mungkin jika kita faham dan mahir berbahasa Arab, maka kaki kita tidak akan lenguh dan hati kita tidak akan menjerit “kenapa Imam ni baca panjang sangat!” ketika solat tarawikh di bulan Ramadhan.
Penulis sebenarnya rasa tersentuh apabila seorang pakcik berumur 82 tahun begitu “steady” berdiri qiam ketika solat tarawikh tahun lalu walaupun imam yang merupakan seorang ustaz dari Maahdad Tahfiz berdekatan membaca surah Yusuf sehingga tamat untuk satu rakaat.
Bila ditanya, pakcik itu selamba menjawab bahawa dia seronok mendengar “qasasul anbiya” (cerita para nabi) yang diceritakan di dalam surah tersebut sehingga dia leka dan menguatkan keimananannya kepada Allah SWT.
Bila ditanya lagi, pakcik itu memberitahu bahawa dia memang faham dan menguasai Bahasa Arab dengan baik.
Semuanya kerana Bahasa Arab, bukan?
Jika kita belajar Bahasa Inggeris untuk ilmu, Bahasa Melayu untuk kebangsaan, apa salahnya kita berusaha mempelajari Bahasa Arab untuk Islam dan iman, kan?
Oleh: ZAMZUKHAIRI NOORDIN



Blog Puteri Amani

Penafian: Blog puteri-amani.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab di atas apa-apa kehilangan atau kerugian oleh penggunaan maklumat dari blog ini. Sebarang komen di blog ini adalah dibawah tanggungjawab pemberi komen. puteri-amani.blogspot.com tidak akan bertanggungjawab jika timbul sebarang masalah dari komen yang diberikan. Segala artikel, gambar dan video dalam blog ini bukan hak milik sepenuhnya puteri-amani.blogspot.com, ia diambil dari pelbagai sumber seperti yang dikreditkan.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Iklan

.

Followers

SponSor By Nuffnang

Iklan

.

Traffic Visit